Menjemput Rezeki Allah Dengan 7 Amalan Ini

Sepanjang hidup seorang manusia, pasti akan ada kerisauan. Antara kerisauan yang sering menghantui manusia adalah berkaitan rezeki.

Menjemput rezeki juga perlu selepas kita berusaha mencarinya. Jangan sering mengeluh jika rezeki kita cukup-cukup makan kerana sebenarnya kita masih ada rezeki. Ada yang suka mengeluh dan berkata kenapa aku susah, kenapa apa yang aku buat semua tidak menjadi, kenapa apa yang aku usahakan tiada peningkatan dan berbagai lagi rungutan.

Dari segi keluarga pula, kenapa aku tidak bahagia macam orang lain, kenapa anak-anak aku tidak macam anak orang lain tidak ada apa keistimewaan pun?

Ini semua adalah tergolong dalam rezeki. Dalam bab rezeki kadang-kadang kita sebagai manusia ini sering lupa dan tidak ambil tahu langsung kenapakah rezeki yang kita mahukan itu menjauhi diri kita. Hingga seolah-olah rezeki itu takut nak dekat dengan kita.

Amalan Menjemput Rezeki

Mungkin rezeki yang kita perolehi yang sedikit itu adalah ihsan daripada Allah SWT kepada kita yang memang kita ketahui Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pemurah.
Kita kena muhasabah diri kita. Apa yang kita buat untuk Allah. Cukupkah amalan harian kita dan lidah kita ini ringankah atau berat untuk mengingatinya.

Selain kita tidak meninggalkan solat dan menepati rukun islam yang lain, ringankanlah lidah dan bibir kita untuk berzikir dan membaca Alquran? Bersama ini dinyatakan beberapa amalan yang mampu memanggil rezeki untuk kita jika amalkan dengan penuh istiqomah.

Amalan ini adalah percuma hanya perlu meringankan bibir dan lidah bergerak. Sesungguhnya kerajinan bibir dan lidah kita mampu menjemput rezeki Allah jika Allah berkehendak. Bacalah pada bila-bila masa sahaja samada di waktu malam, waktu pagi, waktu petang tak kira sebelum melelapkan mata, semasa bekerja dan sebagainya.

AMALAN MUDAH MENJEMPUT REZEKI

1- KALIMAH LA HAWLA WALA QUWWATA ILLA BILLAH
Perbanyakkan menyebut kalimah ini. Sepertimana yang diriwayatkan oleh At-Tabrani yang bermaksud:

“Barangsiapa yang lambat datang rezekinya hendaklah banyak mengucapkan La Hawla Wala Quwwata Illa Billah”.

2 – KALIMAH LA ILAHA ILLALLAHUL MALIKUL HAQQUL MUBIIN

Banyakkan menyebut kalimah La Ilaha Illallahul Malikul Haqqul Mubiin. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dan Ad Dailam:

“Barangsiapa setiap hari membaca La Ilaha Illallahul Malikul Haqqul Mubeen maka bacaan itu akan menjadi keamanan dari kefakiran dan menjadi pententeram dari rasa takut dalam kubur”.

3 – KALIMAH SUBHANALLAH WABIHAMDIHI…
Banyakkan menyebut kalimah di atas sepertimana yang diriwayatkan oleh Al-Mustagfiri dalam Ad-Da’awat:

“Dari setiap kalimah Subhanallah Wabihamdihi Subhanallahil A’ziim itu seorang malaikat yang bertasbih kepada Allah SWT sehingga hari kiamat yang pahala tasbihnya itu diberikan untukmu”.

4 – MEMBACA SURAH AL-IKHLAS
Membaca Surah Al-Ikhlas. At-Tabrani meriwayatkan di dalam hadisnya yang bermaksud:

“Barangsiapa membaca Surah Al-Ikhlas ketika masuk rumah maka berkah bacaannya menghilangkan kefakiran dari penghuni rumah dan jiran tetangganya”.

5 – MEMBACA SURAH AL-WAQI’AH
Membaca Surah Al-Waqia’h. Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman yang bermaksud:

“Barangsiapa membaca Surah Al-Waqia’h setiap malam maka tidak akan ditimpa kesempitan hidup”.Anda boleh merujuk Alquran pada muka surat 534

6 – SELAWAT KE ATAS NABI
Banyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW sepertimana yang diceritakan oleh Saiyyidina Umar bin Al-Khatthab berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali selawat maka Allah akan membalas sepuluh kali selawat ke atasnya dan mengangkatnya sepuluh darjat”.

(Dikeluarkan oleh Imam Al-Bukhari dalam Adabul Mufrad, Ibnu Abu Syaibah al-Bazzar Ibnu Syahiin dan al-Ismaili dengan Sanad Ma’lul)

7 – BERISTIGHFAR
Lazimkan lidah kita beristighfar kepada Allah sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majjah yang bermaksud:

“Barangsiapa yang melazimkan dengan beristighfar, nescaya Allah akan mengeluarkan dia dari segala kesusahan dan memberikan rezeki dari arah yang tidak diduga-duga”.

DOA MENJEMPUT REZEKI

Bacalah doa dibawah di waktu dhuha samada semasa mahu memulakan sesuatu pekerjaan atau ketika melakukan Solat Sunat Dhuha. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar doa kita.

“Ya Allah sesungguhnya waktu dhuha itu, adalah waktu dhuha (milikMu), pancaran cahaya adalah pancaran cahaya (milik)Mu, (Segala) KecantikanMu itu adalah kecantikan (milik)Mu,

(Apapun) Kekuatan adalah kekuatan (milik)Mu, (Apa juga) qudrat adalah qudratNya, dan (segala) perlindungan itu adalah (datang dari) pelindunganNya. Ya Allah sekiranya rezekiku ada di langit maka turunkanlah ia, jika ada di bumi keluarkanlah ia.

Jika ia sukar (Kau) mudahkanlah, Jika ia kotor (Kau) suci bersihkanlah, Jika ia jauh dekatkanlah, dan jika ia hampir maka permudahkanlah, dengan kebenaran dhuhaMu, pancaran cahayaMu, KecantikanMu, KekuatanMu dan QudratMu.

Berikanlah aku apa yang telah Kau telah berikan (kepada) hamba-hamba Mu yang soleh.”

Sumber: didakwah via sukaviral

 

Leave a Comment