Mufti Perak menghadap Ilahi petang tadi

IPOH, 30 MEI: Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang sebelum ini dimasukkan ke hospital setelah disahkan positif Covid-19, meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu entri di Facebook yang memaklumkan Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira 3 petang tadi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

“Dukacita dimaklumkan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria baru sahaja meninggal dunia,” menurut entri tersebut.

Timbalan Mufti Datuk Zamri Hashim dalam pesanan WhatsApp kepada media turut mengesahkan perkara berkenaan.

Sebelum ini dilaporkan, Harussani, 82, dan isterinya, Puan Seri Ainon Abdul Ghani, sedang mendapatkan rawatan di HRPB, sebelum sambutan Aidilfitri berikutan jangkitan Covid-19.

Namun, isteri Allahyaham telah beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital pada 21 Mei lepas.

Jenazah Allahyarham kini masih berada di hospital dan difahamkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat.

Allahyarham dilahirkan di Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar dan meninggalkan isteri serta empat orang anak.

Beberapa ahli politik berkongsi ucapan takziah mereka buat allahyarham, antaranya timbalan menteri belia dan sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; naib presiden Amanah merangkap ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan juga ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Takziah kepada keluarga Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria atas musibah besar ini. Saya turut berduka dan mendoakan.

“Almarhum Tan Sri Dr Harussani Zakaria adalah kenalan dan sahabat sejak beliau menjadi kadi besar Pulau Pinang dan kemudiannya mengurus perkahwinan saya dan Azizah pada tahun 1980.

“Mendoakan agar keluarga almarhum tabah dan kuat saat ini,” kata Anwar di media sosialnya.

Tidak ketinggalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga bekas mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad, yang berkongsi gambar pertemuan terakhir mereka.

“Ini gambar kenangan yang masih saya simpan, ziarah terakhir sekitar tiga tahun lalu.

“Setiap kali ke Perak, saya akan usahakan untuk mengunjungi beliau. Memohon doa dan restu ‘orang lama’ yang juga ilmuan yang amat disegani.

“Moga Allah SWT tempatkan beliau bersama orang-orang yang soleh, disisi-Nya. Sama-sama kita sedekahkan bacaan Surah al-Fatihah,” kongsi Zulkifli di Facebook.

Leave a Comment